X

Kindly register in order to view this article
!

Veteran UMNO, Pas desak Tun M pecat Guan Eng

Othman (duduk tiga dari kiri) dan Ahmad Subky (duduk tiga dari kanan) bersama ahli veteran UMNO dan Pas pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Veteran UMNO dan Pas mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan yang bersifat Islamofobia.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia boleh mengundang keresahan dan kebimbangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, kenyataan tersebut bukan sahaja salah malah berbaur hasutan, berniat jahat dan boleh mengancam perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Guan Eng seolah-olah tidak memahami sejarah, asas negara ini dan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Perlu difahami bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam di negara ini maka menghormati dan menjaga agama Islam adalah satu ‘constitutional obligation’.

"Sekiranya tidak memahami hakikat ini dengan mengeluarkan kenyataan yang membenci Islam maka ia boleh disifatkan sebagai satu penderhakaan," katanya pada sidang media Veteran UMNO dan As-Sabiqun Pas di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi As-Sabiqun Pas, Ahmad Subky Latif.

Semalam, Guan Eng mengeluarkan kenyataan berhubung penubuhan Pakatan Nasional oleh Pas dan Barisan Nasional (BN) yang bertujuan untuk mengambil alih pemerintahan negara dibimbangi akan mengundang bahaya kepada rakyat.

Dalam kenyataan tersebut, beliau mengingatkan rakyat bahawa negara ini akan kembali ke zaman gelap sekiranya penubuhan sebuah kerajaan yang memusuhi minoriti bukan Islam itu menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Othman berkata, pihaknya bersama-sama Veteran Pas turut mendesak agar Guan Eng memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana beliau sudah menghina Islam.

“Kenyataan Guan Eng juga secara jelas tidak menunjukkan dirinya sebagai seorang rakyat Malaysia yang taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak menerima Perlembagaan dengan keluhuran dan kedaulatan undang-undang negara kerana beliau mengeluarkan kenyataan membenci Islam dan menyemai pemikiran anti Islam di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN Guan Eng dakwa Pakatan Nasional ancam Perlembagaan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus