X

Kindly register in order to view this article
!

Sokongan DAP lebih cenderung kepada Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Sokongan DAP ketika ini dilihat lebih padu terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentukan sama ada peralihan kuasa pemimpin nombor satu negara itu perlu dilakukan atau sebaliknya.

Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, ini kerana pemimpin DAP khususnya yang berjawatan menteri pasti lebih memilih untuk menyokong Dr Mahathir yang merupakan ketua mereka ketika ini.

"Berdasarkan situasi semasa, saya percaya sokongan (Ahli Parlimen DAP) itu masih dimiliki atau ditujukan kepada Dr Mahathir kerana beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

"Meskipun kita dapat lihat sokongan DAP lebih cenderung kepada Anwar tetapi ia tidak datang daripada mereka yang berjawatan menteri. Mungkin hanya daripada Ahli Parlimen biasa.

"Jadi, saya lihat kecenderungan pemimpin DAP khususnya yang berjawatan (dalam Kabinet) mereka lebih lagi menyatakan sokongan kepada 'bos' mereka sendiri iaitu Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan DAP yang lebih cenderung kepada Dr Mahathir atau Anwar dalam menentukan sama ada peralihan kuasa Perdana Menteri perlu dilakukan atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas konsisten sokong Tun M, UMNO enggan campur tangan

Usul percaya kepada PM beri peluang kepada ahli Parlimen

Perkara itu timbul susulan saranan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari supaya Dr Mahathir dan Anwar mengisytiharkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong mereka.

Mengulas lanjut, Achmad Dzariean berkata, saranan Abdul Aziz supaya kedua-dua pemimpin itu mengemukakan Ahli Parlimen yang menyokong mereka sebagai tidak dilakukan mengikut Perlembagaan.

Jelasnya, kedua-dua pihak tidak harus menyatakan berapa orang yang menyokong mereka di luar, sebaliknya proses itu hendaklah berlaku di Parlimen sama ada melalui undi percaya atau sebaliknya.

"Tidak pernah sejarah dalam negara, kita menyatakan peralihan kuasa dibuat di luar Parlimen.

"Jadi mestilah pada hemat saya sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi kedaulatan, menjunjung tinggi Perlembagaan, ia sepatutnya berlaku di dalam Parlimen dan bukannya di luar," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed pula menyifatkan tiada keperluan untuk Dr Mahathir mengisytiharkan jumlah Ahli Parlimen memberikan sokongan kepada beliau memandangkan tiada sebarang isu berbangkit berhubung perkara itu.

Malah katanya, saranan dibuat oleh Abdul Aziz itu secara tidak langsung boleh mengeruhkan lagi keadaan negara yang ketika ini sedang berusaha untuk menangani krisis wabak koronavirus.

"Tiada keperluan untuk Dr Mahathir untuk tunjuk jumlah Ahli Parlimen yang menyokong mereka melainkan wujud usul undi tidak percaya dan sebagainya tetapi sehingga perkara itu (undi tidak percaya) tidak berlaku, saya melihat tidak ada keperluan," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Marthada berkata, saranan yang di uarakan Aziz itu juga bukan membawa pendirian partinya tetapi lebih kepada pandangan peribadi.

Menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh dua tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!