KPM fokus revolusi sifar murid

Habibah (dua dari kanan) bertanya khabar dua beradik yang diziarahinya pada Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, di Kampung Pering di sini hari ini.
Habibah (dua dari kanan) bertanya khabar dua beradik yang diziarahinya pada Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, di Kampung Pering di sini hari ini.
A
A
A

KODIANG - Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat melaksanakan revolusi sifar murid dalam usaha menangani masalah keciciran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, KPM akan memastikan tiada keciciran berlaku ketika transisi murid dari darjah enam ke tingkatan satu atau dari tingkatan tiga ke tingkatan empat.

Menurutnya, masalah keciciran dilihat isu penting yang perlu diberi perhatian kerana ia bukan sahaja merugikan individu tersebut, malah memberi kesan terhadap negara dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan.

"Kajian yang dilakukan mendapati antara faktor berlakunya keciciran ini adalah kesempitan hidup serta masalah kekeluargaan.

"Selain itu, pelajar di kawasan bandar besar dan tempat pelancongan juga lebih mudah mendapat pekerjaan, maka mereka tidak tunggu sehingga habis sekolah," katanya kepada media selepas Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Kampung Pering, di sini hari ini.

Sementara itu, Habibah berkata, program memasuki tahun kedua itu berperanan untuk memperluaskan konsep penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa dan penjaga.

“Program ini dapat mewujudkan budaya baharu yang lebih positif demi kemenjadian murid-murid.

“Selain itu, pelbagai intervensi dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan bagi mengenal pasti masalah dihadapi murid kurang bernasib baik supaya mereka berpeluang mengakses pendidikan sewajarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Habibah bersama Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abd Aziz Selaiman meluangkan masa menziarahi dua keluarga pelajar yang kurang berkemampuan dan menyerahkan bantuan barangan keperluan serta bahan pembelajaran.