Empat calon Bersatu Bandar Tun Razak tarik diri

Shahni (tengah) menunjukkan senarai calon yang menarik diri bagi pemilihan Bahagian Bandar Tun Razak yang bakal berlangsung 28 Februari ini.
Shahni (tengah) menunjukkan senarai calon yang menarik diri bagi pemilihan Bahagian Bandar Tun Razak yang bakal berlangsung 28 Februari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bandar Tun Razak mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada pemilihan parti itu ketika mesyuarat bahagian di sebuah hotel di sini semalam.

Mereka ialah calon ketua bahagian, Profesor Datuk Dr Ir Jamaludin Non; timbalan ketua bahagian, Farouk Mohd Noor; ketua Srikandi, Nezli Mohd Noor dan ketua Armada, Mokhzani Mokhtar.

Farouk yang juga penyandang Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Bandar Tun Razak memaklumkan, keputusan menarik diri tidak dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mengukuhkan parti.

"Saya beri laluan kepada calon yang lebih ideal, yang boleh menjadi penghubung suara rakyat kepada wakil rakyat kawasan.

"Ia juga bagi mengelak perpecahan dalam parti apabila terlalu ramai calon bertanding. Pengukuhan parti penting bagi menarik sokongan rakyat menyokong Bersatu dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Shahni (lapan dari kiri) bersama ahli Bersatu Bandar Tun Razak semasa mesyuarat pemilihan yang berlangsung di sebuah hotel semalam.
Shahni (lapan dari kiri) bersama ahli Bersatu Bandar Tun Razak semasa mesyuarat pemilihan yang berlangsung di sebuah hotel semalam.

Sementara itu, penyandang Ketua Bahagian Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail memilih bertanding mengekalkan jawatan berkata, penarikan diri empat calon tersebut menjadikan kesemua jawatan berkenaan akan ditandingi secara dua penjuru.

"Malah Jamaludin yang menarik diri sebagai calon ketua bahagian menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan saya dan akan membantu saya dalam gerak kerja parti peringkat bahagian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap pemilihan yang bakal diadakan pada 28 Februari di sebuah hotel di Jalan Raja Laut membawa konsep demokrasi dan bersaing secara sihat.

"Kita menyokong demokrasi, masing-masing boleh bawa isu yang mahu diketengahkan cuma saya berharap selepas ini semua dapat bekerja secara berpasukan.

"Saya akan terus perjuangkan kelestarian di Bandar Tun Razak merangkumi aspek sosioekonomi, kesihatan dan pendidikan," katanya.