TM sah penaja rasmi Liga-M

Hamidin (dua dari kanan) bersalaman dengan Moharmustaqeem pada majlis menandatangani perjanjian TM sebagai penaja rasmi Liga-M 2020 hingga 2022 di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur hari ini.
Hamidin (dua dari kanan) bersalaman dengan Moharmustaqeem pada majlis menandatangani perjanjian TM sebagai penaja rasmi Liga-M 2020 hingga 2022 di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELEPAS pelbagai spekulasi timbul akhirnya Telekom Malaysia Berhad (TM) tampil kembali menjalinkan kerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) apabila sah menjadi penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M) selama tiga tahun mulai musim ini.

TM menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama bersama MFL untuk menjadikan syarikat telekomunikasi itu sebagai penaja utama bagi saingan Piala Malaysia.

Perjanjian selama tiga tahun yang nilainya tidak didedahkan itu turut menyaksikan TM sebagai penaja bersama bagi saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Cabaran dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) yang bermula 28 Februari ini.

Biarpun 'perselisihan' antara kedua-dua pihak sebelum ini dianggap sudah selesai, namun timbul persoalan mengenai jumlah sebenar tajaan yang dihulurkan TM kepada MFL.

Ditanya mengenai perkara tersebut, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, nilai tajaan itu hanya akan diberitahu kepada rakan kongsi MFL dan tidak akan didedahkan kepada umum.

"Itu sebahagian daripada syarat perjanjian kita dengan TM. Saya rasa pihak media tak perlu tahu. Yang penting, rakan kongsi kita yang perlu tahu.

"Apa yang terjadi pada masa lepas (perjanjian penajaan dibatalkan di tengah jalan sebelum MFL bertindak menyaman TM) itu kita jadikan tauladan dan pedoman," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan juga lebih gemar 'membisu' apabila ditanya pihak media berkenaan jumlah tajaan itu biarpun mengakui kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Premier sudah mengetahui nilainya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya adakah benar nilai sebenar tajaan sebanyak RM30 juta, beliau sekadar menjawab: "Itu no komen sebab (MFL) kena hormat persetujuan kita dengan TM."

Terdahulu, kerjasamaan antara TM dan MFL itu telah dimeterai dalam satu majlis yang turut diwakili Ketua Pegawai Eksekutif TM Multimedia, Moharmustaqeem Mohammed.

Moharmustaqeem menyifatkan kerjasama dengan MFL itu sebagai satu kebanggaan apabila pihaknya dapat membangunkan dan membawa perubahan dalam arena bola sepak tempatan.

"Kami teruja untuk menghidupkan semula kerjasama kami dengan MFL dalam usaha untuk memperbaharui kerjasama dengan MFL menetapkan TM sebagai penaja acara bola sepak yang paling berterusan di seluruh Asia Tenggara.

“Para peminat bola sepak kini boleh menikmati perlawanan Liga-M dan menonton pasukan kegemaran mereka beraksi," katanya yang turut memaklumkan TM melalui perkhidmatan penyiaran video Live TV, unifi TV akan menyediakan siaran langsung bagi setiap perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia serta perlawanan terpilih Piala FA mulai 28 Februari ini bermula dengan Piala Sumbangsih di lima saluran sukan unifi.