Majoriti tolak kerjasama Muafakat Nasional dengan Tun M: Asyraf Wajdi

Status Facebook Dr Asyraf yang mendakwa majoriti rakyat menolak Muafakat Nasional bekerjasama dengan Dr Mahathir dan menolak Anwar serta DAP.
Status Facebook Dr Asyraf yang mendakwa majoriti rakyat menolak Muafakat Nasional bekerjasama dengan Dr Mahathir dan menolak Anwar serta DAP.
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti rakyat menolak cadangan Muafakat Nasional untuk bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdasarkan tinjauan pendapat yang dilakukan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di laman sosial Facebooknya Isnin lalu, mereka juga menolak sekiranya Muafakat Nasional dan Dr Mahathir mahu bekerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Asyraf Wajdi berkata, seramai 102,000 netizen membuat undian dan 56 peratus daripadanya menolak cadangan itu manakala 44 peratus lagi menyifatkan sebagai wajar.

“Terima kasih kepada lebih 102,000 orang yang telah mengundi dan hampir 10,000 yang memberikan komentar terhadap tinjauan pendapat ini.

“Dari semua komentar dan pandangan dapatlah dirumuskan beberapa dapatan yang antara lain tidak bersetuju Muafakat Nasional menjalin sebarang kerjasama dengan kedua mereka termasuk bersama parti DAP,” katanya menerusi statusnya yang dimuat naik di akaun Facebook beliau semalam.

Isnin lalu, Asyraf memuat naik posting tinjauan pendapat bertajuk, Wajarkah Muafakat Nasional bersama dengan Tun Dr Mahathir, menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP?

Beliau berkata, hasil dapatan itu juga mendapati, rakyat tidak mahu Muafakat Nasional menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak seandainya ia ada kaitan dengan DAP.

“Mereka mahukan Muafakat Nasional (penyatuan UMNO dan Pas) diperkasa dan diperkukuhkan bagi mewakili suara rakyat tanpa menjadi alat mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada semua yang mengundi dan berkongsi pandangan,” katanya.