X

Kindly register in order to view this article
!

Rundingan sebelum PRU14 bukan untuk sertai Muafakat Nasional

Mukhriz Mahathir
A
A

PADANG TERAP - Pertemuan rundingan antara pimpinan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak ada kaitan Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional Pas-UMNO.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebaliknya pertemuan itu hanya melibatkan beberapa perjanjian berkaitan rancangan kerjasama menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 ketika itu.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, Pas kemudiannya bertindak menarik diri selepas perjanjian terbabit ditandatangani.

"Bila dah jadi begitu, maka kita terpaksa untuk terus (dan tetap) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (DAP, PKR, Amanah) dan kesudahannya, kita semua dah tahu," katanya kepada media ketika lawatan ke tapak Kedah Rubber City (KRC) di sini hari ini.

Semalam, Pas menegaskan tidak menyokong parti BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak sebelum dan ketika PRU14 lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan berkata, parti itu sebaliknya cuba bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu sebelum PRU14.

ARTIKEL BERKAITAN: Peralihan kuasa: Takiyuddin bebas beri pandangan, kata Saifuddin

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mukhriz berkata, tiga jawatan tertinggi Bersatu yang dijangka tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu Jun ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan datang.

"Saya tahu ada beberapa negeri yang cadangkan begitu, namun kurang manis untuk saya komen kerana saya salah seorang daripada tuan punya badan (pemegang jawatan).

"Jadi, saya rasa terpulanglah. Kita terbuka tentang isu ini dan kalau itu ketetapan keahlian parti, jadi kita terima saja lah.

"Walau bagaimanapun, kita tetap amalkan demokrasi dalam parti dan kalau ada pertandingan pun bertanding lah, tak apa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!