PERKESO kuat kuasa had siling gaji baharu
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menguatkuasakan siling gaji baharu bagi maksud caruman mulai 1 Oktober 2024.
PERKESO dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Menurutnya, langkah meningkatkan siling gaji tersebut dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus.
"Faedah-faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah
Akta 800.
"Mulai 1 Oktober ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 dan RM6,000 sebulan adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 serta Jadual Kedua, Akta 800," katanya pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, bayaran caruman bermula 1 Oktober 2024 dan seterusnya hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu.
Ujarnya, majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh PERKESO.
"Dianggarkan 1.5 juta pekerja atau hampir 15.5 peratus daripada keseluruhan pencarum PERKESO di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji ini yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.
"Sejak penubuhannya pada 1971 sehingga kini, sebanyak enam kali peningkatan siling gaji telah dilaksanakan. Langkah proaktif ini diambil selaras kenaikan kos sara hidup dan pembiayaan menjalankan perniagaan yang perlu diimbangkan dengan pengagihan faedah serta risiko lebih adil kepada pencarum termasuk orang tanggungannya," katanya.