MB Negeri Sembilan nafi anak dipanggil SPRM

Aminuddin(tengah) pada sidang media
Aminuddin(tengah) pada sidang media
A
A
A

SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan anaknya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan isu pemberian projek di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata, cerita tersebut dipercayai sengaja ditimbulkan bagi merosakkan tumpuan beliau sebagai pemimpin utama negeri berkenaan.

“Saya tidak tahu pun anak saya dipanggil SPRM dan dia pun tidak ada cerita apa-apa. Janganlah buat fitnah kata anak saya dipanggil SPRM. Anak saya ada di rumah.

“Apa yang saya boleh katakan berilah berita yang benar dan saya menafikan anak saya dipanggil SPRM. Anak saya tidak terlibat apa-apa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, menjadi hak SPRM untuk melakukan siasatan jika benar terdapat dakwaan.

Katanya, sesiapa saja seharusnya buat laporan jika ada bukti kukuh, bukannya sekadar membuat dakwaan berdasarkan cerita orang lain.

“Saya melihat banyak tohmahan. Buatlah aduan dan saya tiada masalah, pastikan juga ada buktinya.

“Orang boleh bercerita dan bercakap dalam video. Jadi, kita sebagai penerima berita perlu pastikan sama ada ia betul atau tidak.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, dua orang bercerita tentang saya, tapi macam mana ia boleh disebarkan dan itu persoalannya,” katanya.

Beliau dengan tegas berkata, individu atau pihak yang sengaja membuat cerita tidak benar sebegitu menanggung dosa yang besar di akhirat.

Pada Ahad lalu seorang individu menerusi hantaran di Facebook menimbulkan persoalan mengenai dakwaan itu.