Terbuka China: Yew Sin-Ee Yi mudah ke suku akhir
PASANGAN beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melangkah ke suku akhir Terbuka China 2024 pada Khamis.
Pada pusingan kedua kejohanan berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou, Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking ke-23 dunia tidak berdepan masalah mencatat kemenangan mudah ke atas beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-19, 21-14 dalam tempoh 35 minit.
Ia sekali gus merupakan kemenangan ketiga buat Yew Sin-Ee Yii apabila pernah menewaskan pasangan itu pada dua pertemuan di pentas suku akhir tahun lepas.
Menanti Yew Sin-Ee Yi di pusingan suku akhir esok ialah pemenang aksi melibatkan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau Andreas Søndergaard-Jesper Toft dari Denmark.
Turut mengikut jejak langkah mereka, beregu lelaki negara yang baru sahaja bergerak secara profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani setelah menewaskan rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-14, 25-23, sekali gus dijadual bertemu satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terdahulu menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula menewaskan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 21-16, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan wakil tuan rumah Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di suku akhir. - Bernama