X

Kindly register in order to view this article
!

OIC tolak pelan damai berat sebelah Trump

OIC yang bersidang di Jeddah hari ini menyatakan pendirian sama dengan Liga Arab menolak pelan damai diumumkan Trump pada minggu lalu. - FOTO: AGENSI
A
A

AYAT FB: Negara Arab, negara Islam tolak pelan Deal of the Century diumumkan Trump pada minggu lalu

JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini menolak pelan damai kontroversi Israel-Palestin digelar Deal of the Century yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada minggu lalu.

Mesyuarat khas itu diadakan di Jeddah dua hari selepas Liga Arab menyatakan pendirian sama terhadap pelan damai tersebut yang didakwa tidak memenuhi hak dan aspirasi penduduk Palestin serta merealisasikan rancangan jahat Israel untuk memperluaskan pendudukan mereka di wilayah terbabit.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan Islam terbesar mempunyai 57 negara anggota itu menggesa kesemua negara anggota supaya tidak terlibat atau bekerjasama dalam apa jua bentuk dengan pentadbiran AS untuk merealisasikan pelan damai berat sebelah itu.

Menerusi ucapan pembukaan, Setiausaha Agung OIC, Yusuf Ahmed al-Othaimeen berkata, sebarang penyelesaian terhadap isu Palestin perlu berdasarkan penubuhan negara berdaulat Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

"Kami memperbaharui komitmen kami untuk terus berusaha mencapai keamanan, keselamatan, kestabilan dan keadilan selaras dengan resolusi antarabangsa dan inisiatif keamanan Arab," tegasnya.

Beliau juga menggesa negara anggota supaya berhubung dengan pertubuhan antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk mengeluarkan resolusi yang dapat memberi manfaat kepada Palestin.

Kelmarin, Wakil Tertinggi Kesatuan Eropah, Josep Borrell menyifatkan pelan damai Trump itu mencabar perjanjian antarabangsa yang dipersetujui sebelum ini untuk menamatkan konflik di wilayah tersebut.

"Pelan itu mencetuskan persoalan terhadap sempadan 1967 yang dicapai sebelum ini untuk hidup secara aman dan pengiktirafan bersama antara Israel-Palestin. Kami berkongsi komitmen terhadap penyelesaian dua negara dan menghormati undang-undang antarabangsa," katanya.

Terdahulu, agensi berita Rusia memetik kenyataan jurucakap Kremlin melaporkan pelan tersebut bertentangan dengan beberapa resolusi PBB dan turut mempersoalkan kebolehlaksanaan langkah itu.

"Kami lihat banyak negara Arab yang berpihak kepada Palestin menolak pelan itu. Adakah ia mampu dilaksanakan?" kata Dmitry Peskov. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus