Aaron-Wooi Yik beri tumpuan kembalikan semula prestasi sebenar

Aaron Chia (kiri), Wooi Yik
Aaron Chia (kiri), Wooi Yik
A
A
A

PEMAIN beregu lelaki sensasi negara, Soh Wooi Yik memberikan tumpuan untuk mendapatkan semula prestasi sebenar bersama pasangannya, Aaron Chia, sebaik pulih kecederaan.

Jelas Wooi Yik, langkah itu penting untuk mengekalkan ranking dunia semasa mereka yang berada di tangga kelima dan bukannya menyasarkan untuk mendapatkan tempat dalam Jelajah Akhir Dunia 2024 di Hangzhou, China, dari 11 hingga 15 Disember depan.

“Sebenarnya, saya dan Aaron sudah berbincang perkara ini, jadi kami tidak menyasarkan perlawanan Akhir Jelajah Dunia kali ini kerana saya cedera dan memerlukan masa untuk pulih. Aaron memahami situasi saya ketika ini.

“Jadi, kami akan menyertai kejohanan, termasuk yang lebih kecil, untuk kembali cergas dan menstabilkan ranking dunia kerana jika kami tidak bermain, ranking kami akan jatuh,” katanya.

Sebagai rekod, ranking Jelajah Dunia terkini juara Kejuaraan Dunia 2022 itu kini berada di kedudukan ke-11 dan berada di luar lapan pasangan teratas yang layak ke pusingan akhir.

Pemain berusia 26 tahun itu berharap untuk mendapatkan semula rentak permainannya dalam baki kejohanan musim ini, bermula dengan Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, yang dijadualkan dari 8 hingga 13 Oktober selepas membuat keputusan untuk tidak beraksi di Terbuka China 2024 minggu depan.

Sebagai rekod, Wooi Yik mengalami kecederaan ketika perlawanan separuh akhir menentang pemain China Liang Wei Keng-Wang Chang di Arena Porte de La Chapelle pada Sukan Olimpik 2024 di Paris bulan lalu yang berkesudahan tewas 19-21, 21-15, 17-21.

Juara Kejuaraan Dunia 2022 itu kemudiannya menebus kekecewaan itu apabila mengekalkan pingat gangsa dimenangi pada Tokyo 2020, dengan mengatasi wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 16-21, 22-20, 21-19.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!