UiTM kekal penguasaan bola sepak SUKIPT

UiTM menewaskan UKM 2-1 pada final acara bola sepak SUKIPT UUM 2024.
UiTM menewaskan UKM 2-1 pada final acara bola sepak SUKIPT UUM 2024.
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) membuktikan penguasaan dalam acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 apabila menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1 pada final.

Pasukan tersebut mengulangi pencapaian yang diraih mereka pada SUKITP 2018 dan 2022 apabila turut meraih pingat emas pada kedua-dua temasya tersebut.

Pada aksi final di Stadium UUM pada malam Jumaat, Ahmad Taufik Lukman berjaya menjaringkan gol pertama UiTM sebelum UKM menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Muhammad Hadi menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Sebaik separuh masa kedua bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang berintensiti tinggi untuk memburu gol namun keputusan itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Perlawanan yang memasuki babak tambahan itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan turut berbalas serangan namun Muhammad Fakrul Radzi akhirnya muncul wira UiTM apabila menjaringkan gol kemenangan 2-1.

Ketua Jurulatih UiTM, Mohd Yazli Yahya berkata, mereka tampil dengan skuad baru pada kali ini dan bersyukur pemain berjaya memastikan penguasaan emas UiTM dalam sukan bola sepak SUKIPT dapat diteruskan.

Menurutnya, kekuatan mental dan fizikal menjadi antara faktor pasukannya berjaya mempertahankan kejuaraan walaupun ditekan pasukan lawan sehingga ke masa tambahan.

"Saya melihat pemain baharu yang diturunkan tampil dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan walaupun kami sedar lawan kami bukanlah pasukan yang biasa.

Artikel Berkaitan:

"Namun mereka tetap bersemangat beraksi sebagai satu pasukan dan ini mendorong usaha kami berhasil pada pentas akhir," katanya semasa ditemui selepas perlawanan tamat.

Jelasnya, kekuatan mental dan fizikal semua pemain teruji apabila pada saingan separuh akhir pada Khamis juga beraksi sehingga masa tambahan

Menurutnya, beliau optimis pemainnya boleh kembali beraksi dengan baik di pentas akhir kerana turut memiliki barisan pemain simpanan yang mampu mengalas baik peranan semasa diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Apa yang kami rancangkan dari segi kecergasan sehingga hujung acara bola sepak ini adalah berjalan lancar. Alhamdulillah malam ini milik kami," ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi penentuan pingat gangsa pula menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menewaskan pasukan UniKL dengan keputusan 3-1.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!