Ringgit diunjur terus mengukuh, diniagakan sekitar 4.28-4.29 berbanding dolar AS

Momentum pengukuhan nilai ringgit dijangka berterusan pada minggu depan, diniagakan pada 4.28-4.29 berbanding dolar AS. Gambar hiasan
Momentum pengukuhan nilai ringgit dijangka berterusan pada minggu depan, diniagakan pada 4.28-4.29 berbanding dolar AS. Gambar hiasan
A
A
A

MOMENTUM pengukuhan nilai ringgit dijangka berterusan pada minggu depan, diniagakan pada 4.28-4.29 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (Fed) pada 17-18 September ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sejajar jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk mengurangkan kadar faedah minggu depan, ringgit dijangka terus mengukuh dalam tempoh urus niaga singkat pada minggu depan.

"Potensi itu dilihat berasas terutama apabila Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak akan mengikuti langkah Fed kerana risiko kenaikan inflasi domestik yang masih ada," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dan mata wang Asia lain berkemungkinan kekal mendapat sokongan pada minggu depan susulan jangkaan tindakan Fed berkenaan.

Atas alasan itu, beliau berkata ringgit sepatutnya cenderung mengukuh dalam unjuran julat 4.29-4.3150 berbanding dolar AS yang sebaliknya terus lemah.

"Namun, satu-satunya halangan adalah risiko pilihan raya AS. Prospek tinjauan yang memberi sokongan ketara terhadap Naib Presiden AS Kamala Harris daripada parti Demokrat akan menekan dolar AS manakala persepsi yang berpihak kepada bekas Presiden Donald Trump sebaliknya akan meningkatkan nilai mata wang negara maju itu,” katanya.

Pada Jumaat, ringgit mengakhiri urus niaga pada 4.2975/3050 berbanding dolar AS, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan ketika peniaga menjangkakan pihak Fed meneruskan pengurangan kadar faedah dalam lingkungan 25-50 mata asas.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, nilai ringgit mengukuh pada paras 4.2975/3050 berbanding dolar AS daripada 4.3275/3330, seminggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk meningkat berbanding euro apabila mengakhiri urus niaga pada 4.7664/7747 daripada 4.8087/8148 minggu lepas dan naik berbanding pound Britain kepada 5.6439/6538 daripada 5.7010/7083.

Berbanding yen Jepun, ringgit sebaliknya susut pada 3.0570/0625 daripada 3.0296/0337 seminggu sebelumnya.

Prestasi ringgit juga mengukuh berbanding mata wang ASEAN, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3098/3159 daripada 3.3327/3372.

Nilai ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 278.9/279.6 daripada 281.3/281.9, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8907/9190 daripada 12.9087/9305 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.74/7.75 pada minggu lepas.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin 16 Sept, 2024 sempena cuti umum Maulidur Rasul serta Hari Malaysia dan beroperasi semula pada hari berikutnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!