Nu Ideaktiv lancar aplikasi seeNi dan portal Kliik
KUALA LUMPUR – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang terkenal dengan inovasi digital melancarkan produk terbarunya aplikasi seeNi dan portal Kliik.
Ketua Pegawai Eksekutif Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, aplikasi dan portal berkenaan bakal mentransformasikan pengguna dengan berinteraksi dengan kandungan dan komuniti digital.
“Aplikasi seeNi adalah SuperApp yang bukan sekadar menyediakan kandungan artikel, video, dan podcast tetapi ianya juga adalah platform yang menghimpunkan kandungan tempatan dalam satu ekosistem yang selamat,” katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran aplikasi dan portal berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit.
Syamil Fahim berkata, seeNi bukan sahaja memaparkan kandungan lokal malah turut membantu memperkasakan pencipta kandungan tempatan baharu yang sedang meningkat naik.
“Insya-ALLAH kita akan himpunkan semua pencipta kandungan tempatan dalam seeNi untuk bersaing di peringkat global,” katanya.
SeeNi mempunyai portal yang menggabungkan 18 IPs (Jenama Media) Ideaktiv serta menyediakan akses kepada Sinar Harian, Astro Awani, Amanz, Kita Family Podcast.
“Selain itu menerusi di Kliik.je pengguna boleh mendaftar dan memilih tugasan serta cabaran yang bersesuaian dengan minat mereka untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan,” katanya.
Jelasnya, komitmen Ideaktiv adalah untuk terus berinovasi dengan menyediakan platform yang relevan dan bermakna untuk semua peringkat umur.
“seeNi dan Kliik bukan sahaja menjadi penanda aras baru dalam industri kandungan digital tempatan malah mampu meningkatkan literasi digital di kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu Fadzli yakin menerusi aplikasi dan portal baharu yang diperkenalkan oleh Nu Ideaktiv ianya mampu menyokong pertumbuhan industri kandungan tempatan dan memberi pulangan yang baik kepada ekonomi digital negara.
“Pemain industri akan dapat banyak kelebihan dan kita akan pastikan kerjasama Nu Ideaktiv dan MDEC akan berterusan untuk dua tahun akan datang,” katanya.