Padah buat aksi 'superman' ke RXZ Members
TEMERLOH - Aksi 'superman' seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini semasa dalam perjalanan ke program RXZ Members 6.0 menjerat diri selepas ditahan polis pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman kira-kira jam 3.15 petang.
"Op Samseng Jalanan itu telah mengesan motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang dengan aksi 'superman' yang membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.
"Lelaki tempatan berusia 25 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Yusri berkata, diingatkan semua pengunjung program RXZ Members 6.0 untuk memberi kerjasama dengan mematuhi peraturan, syarat dan arahan pihak berkuasa.
"Pihak JSPT akan sentiasa membantu untuk melancarkan program di samping menguatkuasakan tindakan jika kesalahan dilakukan.
"Jaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain agar program sebegini menjadi contoh kepada yang lain," ujarnya.