MAHA 2024: KKDW tampilkan 170 usahawan desa

Muhd Khair Razman ketika 'walkabout' di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.
Muhd Khair Razman ketika 'walkabout' di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Buat julung kalinya Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) menampilkan 170 usahawan desa untuk mempromosikan produk masing-masing sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) bermula 11 hingga 22 September.

Ketua Setiausahanya, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, kluster keusahawanan di Laman Usahawan Desa KKDW menjadi platform usahawan memasarkan dan mempromosi produk masing-masing.

Menurutnya, usahawan yang turut serta di laman berkenaan akan hadir secara bergilir-gilir iaitu lebih 50 usahawan desa pada setiap masa untuk merancakkan program.

"Kebanyakan usahawan berada di bawah bimbingan KKDW dan agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Felcra Berhad, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD) dan Ekonomi Komuniti (EK).

"Di sini, kita bawakan usahawan daripada kategori makanan dan minuman, kecantikan, kesihatan, kraftangan termasuk fesyen pakaian wanita, lelaki serta kanak-kanak.

"Penyertaan KKDW dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucar penggalak jualan bernilai RM40,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Pengasas Rumah Rempah MaiQas, Norita Sudin, 53, berkata, untuk program kali ini dia membawa sebanyak 15 jenis rempah masakan antaranya tandori, kari, beriani, soto dan banyak lagi.

Norita bersama produk keluaran Rumah Rempah MaiQas di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.
Norita bersama produk keluaran Rumah Rempah MaiQas di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Range harga bermula RM3.50 bagi 20 gram dan RM5 untuk 40 gram, manakala produk dalam botol seberat 100 gram adalah RM12. Kita beri harga istimewa kalau ambil banyak.

"Setakat ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sudah pasarkan produk kami ke UK. Jadi sekarang, kami tunggu maklum balas sahaja daripada pihak tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Aping Barat Rabbitries, Rohana Sulaiman, 47, memaklumkan, idea untuk hasilkan produk makanan berasaskan arnab tercetus apabila salah seorang penduduk di felda menternak haiwan tersebut dan ia merupakan pendapatan tambahan bagi kelompok berkenaan.

Rohana (kiri) bersama produk berasaskan arnab di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.
Rohana (kiri) bersama produk berasaskan arnab di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.

Ujarnya, susulan daripada itu pihak Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi, Johor mencari lokasi yang bersesuaian untuk bina ladang dan membela, sembelih serta memasak arnab untuk dijadikan produk makanan.

"Kita ada dua jenis produk iaitu retort dan sejuk beku yang terdiri daripada masak ungkep, rendang, BBQ, geprek dan perapan italian.

"Harga bagi produk retort 150 gram hanya RM12, manakala berat 250 gram pula RM20. Untuk sejuk beku, kita jual pada harga RM28 (500 gram)," tambahnya.

Selain itu, Usahawan Jakoa, Wet Bakil, 59, berkata, pendapatan harian bergantung kepada jualan di pameran atau karnival sahaja selain daripada tempahan secara dalam talian.

Wet bersama produk kraftangannya di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.
Wet bersama produk kraftangannya di Laman Usahawan Desa @ MAHA 2024 pada Jumaat.

Menurutnya, sempena MAHA 2024 ini dia membawa lebih 500 produk kraftangan untuk dijual dengan harga maksimum RM200.

"Semua ini saya belajar sendiri, tiada kursus dan sebarang kelas dihadiri. Rotan ini saya ambil daripada orang lain dan proses untuk hasil produk, ia perlu dilakukan dengan teliti sebab saiz perlu sama.

"Sudah 16 tahun saya terlibat dalam bidang kraftangan dan dalam masa lima tahun ini, produk saya sudah sampai ke Mynamar dan Thailand," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!