Pesalah rasuah perlu dipantau 6 bulan selepas bebas
SHAH ALAM - Pesalah rasuah perlu dipantau pihak berkuasa selama enam bulan selepas dibebaskan menjalani hukuman bagi memastikan mereka tidak kembali terlibat dalam jenayah itu.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Kedah, Abdul Wahab Yahya berkata, pemantauan tersebut juga boleh meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan dan memastikan pesalah rasuah benar-benar mengubah cara hidup mereka.
"Selain denda dalam bentuk wang dan penjara minimum selama enam bulan ke atas pelaku rasuah, mereka juga perlu dipantau pihak kerajaan dalam tempoh lagi enam bulan selepas dibebaskan.
"Ia boleh memberikan peluang untuk program pemulihan yang mungkin diperlukan bagi mengelakkan pengulangan kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, seorang penyelia restoran didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Heng Siou Wei, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Siou Wei didakwa memberi suapan RM15,000 kepada seorang pegawai kanan JIM sebagai suatu balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerja tertuduh yang tidak memiliki sebarang pas sah untuk berada di Malaysia.
Tambah Abdul Wahab, sekiranya pesalah rasuah dikenakan sekadar bayaran denda, ia tidak memadai sebaliknya perlu dihukum sebagai pengajaran.
"Denda boleh mengurangkan keuntungan dari kegiatan rasuah, sementara penjara memberikan pencegahan dan hukuman yang lebih jelas.
"Walau bagaimanapun, penting untuk memastikan bahawa hukuman tersebut adil dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Keadilan dalam pelaksanaan hukuman juga harus diutamakan agar ia berfungsi dengan baik dan berkesan dalam mengurangkan serta membendung jenayah rasuah," katanya.