Islam semakin subur di bawah Kerajaan Perpaduan
SHAH ALAM - Pas semakin galak memainkan naratif Islam terancam kerana kebimbangan parti itu terhadap kejayaan Kerajaan Perpaduan menyuburkan Islam di negara ini.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas terus memainkan isu bukan Islam naik kepala kerana pemimpin lemah dengan modal terbaharu ialah menunggang isu halal.
Menurutnya, isu yang dimainkan terbukti tidak benar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menegur Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengenai isu berkenaan baru-baru ini.
“Pimpinan Pemuda UMNO juga tidak ketinggalan. Pihak berkuasa juga segera menyiasat Teresa atas nama 3R (raja, agama, kaum)
“Saya sendiri turut memberikan pandangan dalam isu mewajibkan persijilan halal kepada pengusaha makanan bukan Muslim sebagai respons pada pandangan Teresa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, semua tindakan itu adalah gambaran ketegasan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa dan menyuburkan Islam khusus dalam isu yang boleh disensasikan atau disalahfahamkan.
“Malaysia sangat ke hadapan dalam isu halal malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempengerusikan jawatankuasa Kabinet untuk isu persijilan halal.
“Pada Oktober tahun lalu, permohonan sijil halal akan diproses dalam tempoh 23 hari bekerja sebagai satu pembaharuan dalam aspek teknikal,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, Islam subur dengan pelbagai lagi agenda baharu pendidikan Islam seperti pra tahfiz di semua lebih 10,000 Tabika Kemas dengan sasaran 140,000 huffaz cilik pada 2026.
“Malah semua 57 buah MRSM melibatkan 37,000 pelajar beraliran sains diarahkan untuk menggunakan sistem integrasi sains dan tahfiz yang dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz,” katanya.
Tambahnya, sambutan Himpunan 24,000 Huffaz esok akan digerakkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah syiar kepada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang telah dilancarkan pelan tindakannya tahun lepas.
“Ucapan dasar Presiden UMNO menegaskan kepentingan Islah dalam pendidikan bagi melahirkan generasi Rabbani yang berakhlak karimah, menjadi qudwah hasanah dan mengangkat izzah Malaysia sebagai negara Islam.
“Cadangan sukatan integrasi Tahfiz Ulul Albab ke sekolah rendah dan menengah agama bantuan kerajaan akan diperluas. Itu adalah komitmen pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Selain itu, katanya, peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dikembalikan oleh Perdana Menteri setelah sekian lama dikuburkan oleh Penasihat SG4 Perikatan Nasional, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Di mata dunia, Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjuarai isu Palestin di pentas antarabangsa sepertimana ucapan tegas beliau ketika sepentas dengan Presiden Rusia dan China. Rakyat Palestin memberikan penghormatan besar atas usaha beliau yang sangat bermakna itu ke arah Palestin Merdeka," katanya.
Jelasnya, segala komitmen Islam Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan turut diperakui oleh tokoh-tokoh ulama dunia termasuk Syeikh Al-Azhar, Profesor Dr Ahmad Tayyib dan Syeikh Profesor Dr Ali Qaradaghi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
“Malah Syeikh Dr Ali sendiri berpesan kepada saya bukan sekali untuk terus mendokong usaha-usaha Islam Kerajaan Perpaduan,” katanya.