Buaya baham pemancing ditembak mati
LAHAD DATU - Seekor buaya ditembak mati selepas membaham seorang pemancing dalam kejadian di Sungai Matamba di kawasan ladang di Jalan Silabukan, di sini pada Khamis.
Dalam operasi sekitar jam 11.50 pagi itu, buaya sepanjang kira-kira 4.5 meter ditembak dengan lima das tembakan oleh pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) sebelum mayat Rusdi Tambah, 45, berjaya diambil dari mulut haiwan tersebut.
Ketua Balai Bomba (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.07 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 40 kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Menurut saksi, mangsa yang juga merupakan pekerja ladang sedang memancing di tepi sungai telah disambar buaya.
"Ketika pasukan bomba tiba, buaya tersebut masih kelihatan di kawasan sungai tersebut dengan keadaan tubuh mangsa berada di dalam mulutnya iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, operasi tersebut turut dibantu oleh pihak JHL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan mangsa yang masih berada di mulut haiwan tersebut.
"JHL kemudian melepaskan lima das tembakan dan selepas haiwan itu disahkan mati barulah anggota kita turun mengambil mangsa.
"Mangsa disahkan telah meninggal dunia dan tubuhnya dalam keadaan sempurna sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Bangkai buaya itu juga turut dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak JHL untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sumsoa berkata lagi, operasi itu kemudian ditamatkan pada jam 1.10 petang.