Pas perlu lebih ke depan bantah campur tangan terhadap urusan agama Islam
KUANTAN - Pas perlu lebih ke hadapan membantah sebarang campur tangan terhadap urusan agama Islam oleh pimpinan DAP seperti isu pensijilan halal yang dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tindakan seperti itu perlu dihalang sebelum merebak dan disentuh secara lebih terbuka.
Menurutnya, orang bukan Islam perlu lebih bertanggungjawab jaga sensitiviti umat Islam di negara ini bagi mengelakkan timbulnya konflik yang lebih besar.
"Undang-undang negara ini jelas terhadap hak orang bukan Islam seperti tiada larangan untuk makan babi, minum arak dan sebagainya.
"Mereka tidak dihalang berbuat demikian, jadi kenapa pihak DAP perlu campur tangan ke atas hak dan kepentingan orang Islam untuk membuat kawalan terhadap soal halal haram makanan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Sidang As-Sabiqun 2024 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi Sidang As-Sabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Hashim berkata, umat Islam begitu sensitif terhadap makanan haram seperti babi dan minuman keras.
"Orang tak sembahyang pun tidak akan makan daging babi.
"Begitu sekali dalamnya kebencian kepada perkara haram itu namun tiba-tiba ada pihak membantah pengamalan Islam di negara ini termasuk isu logo halal yang seolah-olah menjadi ancaman kepada orang bukan Islam," ujarnya.
Beliau berkata, Pas telah lama nampak hala tuju DAP sebab itu putuskan hubungan dengan parti itu.
"Kita tak masuk Kerajaan Perpaduan pun kerana DAP. Bukan kerana kita tidak mahu berkawan tapi sudah tahu perangai mereka.
"Baru menang 40 kerusi dah riuh kalau 120 kerusi rasa lah apa yang akan lakukan," katanya.
Justeru Hashim berkata, sebelum merebak dengan lebih terbuka, Pas perlu lahirkan bantahan bagi menghalang tindakan sebegitu.