Anwar ucap tahniah kepada PM Thailand ke-31 Paetongtarn

Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada Paetongtarn menerusi panggilan telefon. Foto Facebook Anwar
Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada Paetongtarn menerusi panggilan telefon. Foto Facebook Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand ke-31 Paetongtarn Shinawatra, menerusi panggilan telefon susulan upacara mengangkat sumpah jawatan itu pada 6 September.

Anwar menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini, turut menzahirkan keyakinan hubungan erat Malaysia-Thailand akan terus berkembang dan utuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Paetongtarn.

"Malaysia dan Thailand berkongsi banyak kepentingan bersama mencakupi pelbagai bidang kerjasama.

"Saya juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Paetongtarn bagi melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand demi kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau ini secara keseluruhannya,” menurut hantaran itu.

Paetongtarn, 37, Perdana Menteri termuda di Thailand mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Dewan Kediaman Amphorn Sathan, pada 6 September (Jumaat). - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!