'Saya belum terima laporan terkini pencemaran bau kimia' - Nik Nazmi
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menyebabkan pencemaran bau di Johor jika benar wujud penjenayah alam sekitar dalam kes itu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada masa ini pihaknya tidak dapat mengulas lanjut kerana belum mendapat laporan lengkap.
“Saya kena semak yang terkini sebab saya belum terima laporan terbaharu itu lagi. Nanti bila saya terima laporan, kita akan maklumkan kepada pihak media.
“Kita akan lihat laporan terbaru daripada Jabatan Alam Sekitar dan kemudian kita akan tengok untuk tindakan berikutnya termasuk jika perlu ambil tindakan perundangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Serantau Mengenai Keadilan Iklim di sini pada Selasa.
Terdahulu, tiga sekolah di Johor Bahru dilaporkan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hari ini susulan pencemaran bau.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.
SK Maju Jaya mempunyai 974 murid dan 64 guru; Sekolah Rendah Islam Hidayah mempunyai 1,232 murid dan 92 guru manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.
Setakat ini, penutupan sekolah dan pembelajaran secara PdPR berlangsung hari ini sahaja dan perkembangan seterusnya bergantung kepada situasi dan laporan semasa.
Pada Isnin, SK Kampung Maju Jaya ditutup jam 1 petang sebagai langkah keselamatan susulan 21 murid mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah kepada pencemaran bau. - Awani