Bersikap jujurlah, siapa yang mulakan kontroversi?
KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar adalah satu cadangan dasar awam berkaitan satu peraturan mandatori dari segi peraturan yang sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Soalan pertama yang kita ingin tanyakan ialah adakah cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam itu telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri (Kabinet)?
Soalan kedua, adakah Menteri Hal Ehwal Agama boleh umumkan di khalayak awam satu dasar kerajaan melibatkan undang-undang dan peraturan yang masih belum diluluskan oleh Kabinet?
Berbincang pun belum diadakan di dalam Kabinet berkenaan cadangan tersebut.
Soalan ketiga, untuk bersikap jujur dan adil siapa sebenarnya yang mula-mula mencetuskan konroversi?
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok atau Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Mohd Naim?
Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap satu dasar kerajaan yang masih baru dibincang di peringkat Jakim.
Kajian menyeluruh pun belum dibuat secara tuntas.
Masih belum dibawa ke perbincangan Kabinet.
Kenyataan Teresa Kok didakwa satu kesalahan di bawah 3R (agama, raja dan kaum) kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemaraham awam dalam kalangan orang Islam.
Maka kita ingin bertanya bagaimana dengan kenyataan Dr Mohd Naim tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan oleh Kabinet dan jelas telah menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang bukan Islam?
Adakah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R?
Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku?
Adakah sebaliknya jika orang bukan Islam merasa resah, gentar dan marah maka pelanggaran 3R tidak berlaku?
Adakah wujud sistem hukum dua darjat di Malaysia yang kita cintai ini?
Saya perlu menyatakan dengan jelas.
Saya seorang Islam yang menganggap isu halal dan tidak halal dalam apa juga urusan hidup termasuk soal makan minum adalah relevan di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama.
Tetapi kita mesti jujur dan adil.
Tujuan tidak menghalalkan cara.
Tujuan cadangan Jakim seperti yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama adalah baik.
Tetapi cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang menteri kerajaan Persekutuan.
Cara yang betul ialah Dr Mohd Naim selaku Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengarahkan satu kajian yang lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori dalam kalangan syarikat restoran bukan Islam.
Bawa kertas cadangan kepada mesyuarat Kabinet.
Biar semua menteri dalam Kabinet yang Islam dan bukan Islam berbincang dengan akal yang sihat, rasional serta tidak ikut sentimen.
Tidakkah kerajaan Persekutuan sekarang Kerajaan Perpaduan di mana menteri- menteri di dalam Kabinet itu yang ramai Islam dan yang bukan Islam juga ramai.
Jadi berbincanglah dengan mendalam.
Jika secara prinsipnya Kabinet bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Menteri Hal Ehwal Agama, kemudian libatkanlah Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hl Ehwal Undang-Undang.
Selepas itu Menteri Hal Ehwal Agama buatlah libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan agama sama ada Islam dan bukan Islam.
Juga bawalah proses libat urus dengan persatuan peniaga-peniaga restoran bukan Islam sebagai pihak yang betul-betul terlibat.
Jika isu undang-undang beres dan semua pihak yang terlibat faham akan tujuan peraturan yang baru itu, kemudian bawalah semula ke Kabinet supaya digubal satu rang undang-undang berkenaan hal pensijilan halal yang mandatori.
Memang leceh, memang lambat, memang melibatkan banyak kerja.
Tetapi inilah yang dipanggil tatakelola urusan kerajaan yang baik.
Apabila semua okey di mana Rang Undang-Undang telah siap, saya percaya Teresa Kok tidak ada bantahan lagi setelah mendapat penjelasan dan taklimat yang sempurna dalam menjelaskan tujuan baik dan berfaedah daripada Menteri Hal Ehwal Agama serta Jakim.
Jika itu sepatutnya yang berlaku maka terselamatkah kita di Malaysia ini daripada perpecahan dalam kalangan rakyat mengenai soal makan halal atau tak halal.
Maka terelaklah tak fasal-fasal seorang ahli Parlimen disiasat Polis dibawah 3R.
*Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang