SUKIPT 2024: Futsal lelaki UiTM gah kekal pingat emas
SKUAD futsal lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 apabila membelasah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 5-0 pada final.
Ketua Jurulatih Futsal UiTM, Addy Shairullyzam Mohd Shafie berkata, kejayaan itu mengulangi pencapaian sama yang berjaya diraih mereka pada pentas SUKIPT 2022 di UPSI.
Menurutnya, ketahanan mental dan fizikal yang kuat dimiliki oleh pemainnya menjadi antara faktor berjaya menang dengan jaringan besar biarpun masih ada yang belum cergas sepenuhnya.
"Saya bersyukur dan amat berpuas hati dengan keputusan kemenangan yang kami peroleh ini, walaupun pemain kami masih merasa penat.
"Pada sebelah pagi, kami mengharungi perlawanan separuh akhir yang sengit apabila menentang KPTM Bangi dan menang 4-1," katanya semasa ditemui di Arena Sukan UUM pada petang Isnin.
Addy Shairullyzam berkata, beliau gembira dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh semua pemain dalam usaha merealisasikan hasrat pengurusan untuk mengekalkan pingat emas pada edisi kali ini.
Jelasnya, semua pemain berjaya memperbaiki setiap aspek kelemahan apabila memasuki pentas final.
"Bila memasuki final, saya beritahu pemain supaya lebih fokus walaupun penat kerana kami perlu habiskan perlawanan dan kekalkan pencapaian yang kami miliki seperti dua tahun lalu.
"Bagi saya, peluang yang kami dapat berjaya dilaksanakan dengan gol dan kesilapan dapat kami kurangkan dalam aksi ini," ujarnya.
Sementara itu, bagi penentuan pingat gangsa menjadi milik KTPM Bangi yang berjaya menewaskan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga dengan keputusan 5-0.