KPK mohon peruntukan atasi ulat bungkus
BERUAS - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan pengawalan serangan ulat bungkus menerusi Belanjawan 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Chan Foong Hin berkata, serangga itu telah menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit sehingga 44 peratus serta menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
Menurut beliau, teknik kawalan semburan udara menggunakan helikopter terbukti berkesan membasmi serangan tersebut di ladang-ladang kelapa sawit.
"Dana sejumlah RM1.5 juta sedia ada hanya dapat menampung kawasan ladang seluas 4,000 hektar. Jadi sekiranya ada serangan lagi tahun depan, kita tiada dana lagi.
"Jadi, kita amat mengharap peruntukan tambahan atau peruntukan yang lebih khusus untuk dana pengawalan ulat bungkus ini dapat dimasukkan dalam belanjawan tahun depan.
"Ini merupakan salah satu harapan kita untuk bantu pekebun-pekebun kecil ini. Penggunaan helikopter ini memerlukan kos sekitar RM100,000 sehari untuk semburan seluas 500 hektar. Kos ini bukanlah murah untuk pekebun kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Kerja ke Beruas: Pemantauan Operasi Kawalan Ulat Bungkus dan Sesi Ramah Mesra bersama Pekebun Kecil Sawit di Dewan Orang Ramai, Kampung Banjar di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Azhar Ahmad; Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) MPOB, Dr Ramle Moslim.
Foong Hin berkata, serangan terbaharu ulat bungkus dilaporkan sekitar ladang kelapa sawit di Bagan Datuk, Perak serta Segamat dan Pegoh, Johor melibatkan 7,500 hektar.
"MPOB telah memaklumkan kepada saya mereka akan buat lagi operasi semburan udara di Beruas dan akan dikembangkan di Bagan Datuk dan satu lagi di Johor dengan mengguna peruntukan yang sedia ada," katanya.
Ujar Foong Hin, formulasi cecair semburan yang tidak memberi kesan sampingan kepada alam sekitar adalah hasil penyelidikan dan pembangunan MPOB menggunakan bakteria Bacillus thuringiensis (Bt).
"Melalui bancian terkini di Johor, serangan ulat bungkus melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit telah berkurangan kepada 2,000 hektar pada tahun 2023.
"Di Perak pula, ancaman ulat bungkus telah berjaya dikurangkan dengan penurunan populasinya melebihi 95 peratus," tambahnya.