Ikan kelah, temoleh diambang kepupusan angkara ikan asing

Ikan bandaraya antara ikan asing yang berjaya ditangkap sempena Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini pada Ahad.
Ikan bandaraya antara ikan asing yang berjaya ditangkap sempena Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini pada Ahad.
A
A
A

PARIT - Beberapa spesis ikan asli yang terdapat di Sungai Perak, Tasik Bukit Merah serta Tasik Temenggor sedang diancam kepupusan berikutan kehadiran spesies ikan asing di perairan darat di negeri ini.

Antara spesis ikan yang dikenal pasti Jabatan Perikanan Perak termasuklah kelah, temoleh, kelisa, lampam sungai, bujuk dan patin buah.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya memandang serius mengenai kebanjiran spesis ikan asing seperti baung ekor merah, bandaraya dan patin Chaophraya di perairan sungai serta tasik di negeri ini.

Mohd Zolkafly (empat dari kanan) bersama pemenang selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini pada Ahad.
Mohd Zolkafly (empat dari kanan) bersama pemenang selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini pada Ahad.

Jelasnya, keadaan itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada populasi dan habitat ikan asli tetapi turut menjejaskan nelayan darat jika tidak dibendung.

"Kebanyakan benih-benih, anak-anak ikan ini dimakan oleh ikan asing tersebut. Ikan asing ini bukan makan ikan kecil sahaja, ikan besar pun dimakan malah spesis ikan terancam ini merupakan ikan-ikan komersial seperti kelah dan temoleh.

"Sebab itulah. Kita memberikan tumpuan dan pemerhatian yang serius supaya spesis ikan semulajadi tidak terkesan dengan ancaman ikan asing ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap dan Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zolkafly berkata, bagi membendung ancaman tersebut, Jabatan Perikanan mengadakan Program Memburu Ikan Asing yang bertujuan mengurangkan populasi ikan pemangsa tersebut.

Katanya, program berkenaan juga akan diadakan secara berkala melibatkan nelayan-nelayan darat yang ada di negeri ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, beberapa usaha lain akan turut dilaksanakan termasuklah turun padang bertemu peniaga ikan hiasan untuk memberi kesedaran mengenai ancaman ikan asing tersebut.

"Kita telah berbincang dengan Jabatan Perikanan Perak untuk kita turun padang berjumpa dengan penjual ikan hiasan, ikan asing untuk beri pandangan, nasihat apakah spesis ikan yang boleh dijual, tak boleh dijual, tak boleh dilepaskan di sungai, lombong dan sebagainya.

"Bukan itu sahaja, kita juga akan berjumpa wakil-wakil kuil dan tokong supaya kita dapat memperjelas kepada mereka berkaitan upacara keagamaan melepas nazar mereka ini supaya tidak menggunakan ikan pemangsa dan ikan asing ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya bersama Jabatan Perikanan negeri akan mengkaji dan meneliti peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1992 untuk dipinda.

Katanya, kertas kerja mengenai perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat exco sebelum dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, usaha ini dilakukan bagi memastikan undang-undang sedia ada relevan dengan keadaan semasa termasuklah berkaitan aktiviti pelepasan ikan asing tidak terkawal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!