'Kemudahan hebat ini hanya ada di Seremban'
SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, yang merupakan R&R lestari pertama di lebuh raya negara ini.
Beliau berkata, pembangunan R&R lestari pertama ini, merupakan permulaan penting terhadap arah tuju negara dalam menyantuni rakyat dengan memberikan keutamaan kepada kemudahan yang memanfaatkan mereka.
"Saya sudah lalu di lebuh raya berpuluh tahun, belum pernah ada (R&R) seindah ini dengan konsep lestari sebegini rupa. Rakyat Seremban dan Negeri Sembilan memang bertuah, ia satu permulaan yang baik bagi peniaga dan rakyat.
"Saya percaya ini menandakan satu permulaan penting dalam arah tuju negara kita, membangun tetapi memikirkan masalah rakyat di bawah, ini juga satu-satunya surau terbaik di R&R, menggunakan pengudaraan semula jadi, solar, air dan sebagainya, saya ucap terima kasih.
"Kemudahan hebat ini hanya ada di Seremban...kalau kita tekad untuk melakukan sesuatu yang baharu, lestari, insya-ALLAH kita boleh tingkatkan negara kita ke tahap lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan R&R itu, di sini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
Perdana Menteri berkata, konsep lestari ditampilkan di R&R berkenaan seperti penggunaan tenaga solar dan sistem penuaian air hujan, harus jadi permulaan penting dan contoh bagi semua lebuh raya di negara ini dan boleh diperluaskan di kawasan R&R yang lain.
"Menariknya ialah kelestarian solar di atas, air hujan untuk kegunaan bilik air dan tandas. Jadi saya tekankan di sini bahawa R&R Seremban Arah Selatan harus jadi permulaan penting bagi semua lebuh raya di negara kita, ini adalah contohnya," katanya.
Sementara itu, Nanta berkata, konsep R&R lestari berkenaan sangat dialu-alukan dan berharap ia dapat diperluaskan di tempat lain.
"Saya serahkan kepada syarikat konsesi lebuh raya memikirkan untuk buat kerjasama sebab ini semestinya beri keselesaan dan kepada rakyat,” katanya.
Pembangunan semula R&R Seremban arah selatan terletak di Kilometer 274.6 di antara Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Nilai dan Bandar Ainsdale, melibatkan perbelanjaan berjumlah RM45 juta dibina bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat dengan mengambil kira pembangunan infrastruktur yang lestari.
Reka bentuk berwajah baharu ini juga telah memperoleh pensijilan Green Building Index (GBI) Gold Rating dan juga telah dibina semula dengan menggunakan bahan-bahan binaan lestari.
R&R tersebut merupakan yang pertama dilengkapi dengan teknologi hijau seperti panel solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem penuaian air hujan, mesin pengomposan sisa, tong kitar semula fabrik dan 3R, serta bekas pembungkusan biodegradasi.
Selain itu R&R berkenaan menawarkan medan selera yang hampir lapan kali ganda lebih besar berbanding asal dan boleh menampung lebih 500 pengunjung selain reka bentuk surau lebih selesa yang boleh menampung sehingga 150 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita. - Bernama