Orang asli perlu peka wabak koronavirus

Bob Manolan (tengah) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar orang asli di perkampungan tersebut.
Bob Manolan (tengah) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar orang asli di perkampungan tersebut.
A
A
A

TEMERLOH - Masyarakat orang asli diingatkan peka terhadap penularan wabak koronavirus di seluruh dunia ketika ini dengan mengikuti perkembangan mengenai penyakit tersebut dari semasa ke semasa.

Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad berkata, kesedaran mengenai perkembangan tersebut penting dan maklumat mengenai perkara itu boleh didapati melalui pelbagai saluran media termasuk Radio Asyik, yang merupakan saluran untuk orang asli di bawah kendalian Radio Televisyen Malaysia.

Menurutnya, mereka juga perlu mengikut nasihat dan langkah pencegahan sebagaimana dikeluarkan pihak berautoriti termasuklah memastikan daging haiwan dimasak dengan sempurna.

"Mana-mana individu dalam keluarga segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit seperti simptom mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

"Tindakan pantas merujuk simptom virus ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sangat penting bukannya mengambil perubatan tradisional semata-mata," katanya.

Bob Manolan yang juga senator mewakili masyarakat orang asli berkata sedemikian selepas menyampaikan peralatan sekolah dan bakul makanan kepada 40 penduduk di Perkampungan Orang Asli Paya Mengkuang anjuran Skuad Kome Cakna Temerloh di sini baru-baru ini.

Bob Manolan (tengah) bersama sebahagian masyarakat orang asli dalam program tersebut.
Bob Manolan (tengah) bersama sebahagian masyarakat orang asli dalam program tersebut.

Mengulas lanjut katanya, penularan penyakit tersebut di negara ini masih terkawal apatah lagi kerajaan telah mengambil langkah menyekat dan menyaring kemasukan pelancong dari China khususnya dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir anak orang asli yang tidak meneruskan persekolahan di peringkat menengah dan tidak menolak ia berpunca daripada sikap ibu bapa yang mengambil mudah kepentingan pendidikan anak-anak.

Bagaimanapun katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berusaha keras bagi memperkasakan pendidikan anak-anak tersebut.

"Usaha ini menampakkan kesan memberangsangkan apabila berdasarkan rekod 2019, seramai 900 anak orang asli kini menuntut di beberapa universiti awam dalam pelbagai bidang," jelasnya.