Integriti hub PERDA wajar dicontohi

Nurhayati ketika sesi perkongsian bersama warga PERDA pada Khamis.
Nurhayati ketika sesi perkongsian bersama warga PERDA pada Khamis.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Langkah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) mewujudkan program integriti hub dalam mengukuhkan lagi nilai integriti dalam kalangan kakitangannya wajar dicontohi agensi sebagai usaha untuk bangkit perangi rasuah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Nurhayati Nordin berkata, melalui kolaborasi bersama Rasuah Busters ia dapat memantapkan lagi aspirasi PERDA dan akan memastikan pembudayaan serta pelaksanaan integriti dalam agensi terbabit.

"Program integriti rasuah hub yang dilaksanakan ini adalah libat urus daripada pihak Rasuah Busters dan kakitangan dibuat secara khusus. Pemantapan yang kita buat bukanlah integriti daripada pematuhan semata-mata tetapi melalui pemantapan dan pengukuhan sistem nilai semasa melakukan pematuhan terhadap undang-undang yang ditetapkan.

"Maknanya kita cuba mewujudkan pematuhan tersebut mesti lahir dengan roh yang benar-benar faham bahawa tanggungjawab mereka sebagai kakitangan juga adalah sebagai seorang manusia, sebagai seorang hamba tuhan dan juga peranan-peranan yang dimainkan dalam keluarga dan sebagainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Pengukuhan Integriti: Insan Berintegriti di sini pada Khamis.

Hadir sama,Pengurus Besar PERDA, Datuk Mohd Asri Baharum.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, sekiranya pemantapan insani dapat diwujudkan maka individu berkenaan boleh bina integriti di mana sahaja dia berada.

Jadi dalam konteks itu, beliau berkata, ia akan memberi kesan malah kemajuan itu datang daripada kesedaran hakiki terhadap kebertanggugjawaban serta akauntibiliti dalam melaksanakan tugas demi rakyat Pulau Pinang.

"Jadi perkara ini kita harap boleh jadi titik tolak untuk kemajuan diri, keluarga dan negeri. Proses Malaysia Tanpa Rasuah lahir secara organik bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi dikembangkan lagi di pelbagai peringkat ekosistem.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna PERDA mengambil tanggungjawab sebagai sebuah badan untuk mewujudkan integriti hub di sini dan kemudian dia akan jadi lokasi titik-titik panas yang akan melakukan perkara yang sama maka dengan gabungan sebegini Pulau Pinang akan bangkit perangi rasuah secara keseluruhannya,"ujarnya lagi.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, objektif program diadakan bagi memberi pemahaman kepada peserta mengenai keadaan semasa, memahami implikasi rasuah terhadap diri, keluarga, organisasi dan masyarakat selain menentukan hala tuju serta menghidupkan nilai integriti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!