Dua beranak antara lima ditahan disyaki terlibat sindiket dadah

Raub Selamat (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah itu, hari ini. - Foto: Bernama
Raub Selamat (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah itu, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ibu dan anak antara lima individu ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah bernilai RM157,964 dalam serbuan di sekitar daerah ini pada 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tiga lelaki dan dua wanita tempatan berusia 39 hingga 69 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Taman Pelangi dekat sini polis menemukan 4,925 gram syabu, 2.8 gram ganja dan 1.4 gram ketamin serta sepucuk senjata api palsu dan 33 butir peluru kapur yang dipercayai dibeli secara dalam talian.

"Turut dirampas, dua kereta dan wang tunai RM1,385 manakala modus operandi ialah dengan menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedar di pasaran tempatan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Raub (tengah), menunjukkan sebahagian daripada barang dipercayai dadah yang dirampas.
Raub (tengah), menunjukkan sebahagian daripada barang dipercayai dadah yang dirampas.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai lepas itu didalangi seorang lelaki berusia 37 tahun.

Raub berkata, hasil saringan air kencing mendapati tiga lelaki dan seorang wanita itu positif terhadap methamphetamine manakala hasil semakan mendapati kesemua yang ditahan mempunyai rekod kegiatan jenayah dan dadah, keseluruhannya melibatkan 47 rekod.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua individu itu disambung reman enam hari bermula hari ini selepas tempoh reman selama seminggu bermula 27 Ogos lepas tamat hari ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!