Pemuda Sosialis DAP buat laporan polis terhadap bekas KPN

Chuan How (kiri) bersama ahli DAPSY membuat laporan polis terhadap Musa di IPD Ipoh hari ini.
Chuan How (kiri) bersama ahli DAPSY membuat laporan polis terhadap Musa di IPD Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa telah mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Laporan itu dibuat susulan tular video syarahannya dalam sesi wacana isu semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di sebuah universiti tempatan kelmarin.

Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How berkata, dakwaan itu disifatkan sebagai satu fitnah yang dibangkitkan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai peringatan, bekas Pengerusi PKM, Abdullah CD yang bermastautin di selatan Thailand dalam satu wawancara media Disember lalu, menafikan kaitan DAP dengan komunis.

“Malah bagi pemimpin komunis itu, dakwaan DAP komunis adalah melucukan kerana baginya PKM satu-satunya parti yang membawa ideologi komunis di Malaysia.

“Jelas bahawa tuduhan Musa terhadap DAP adalah fitnah dan hasutan yang tidak bertanggungjawab serta memalukan diri sendiri sebagai bekas pegawai tertinggi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyelar tuduhan Musa terhadap Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Teoh.

“Hannah didakwanya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Tuduhan jahat yang boleh menimbulkan huru hara ini tidak boleh diterima sama sekali.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin beliau lupa bahawa seorang pemimpin UMNO terpaksa membuat permohonan maaf kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kerana menuduhnya memakai seragam komunis sedangkan ia merupakan ‘bush jacket’,” katanya.

Chuan How menegaskan bahawa DAP menolak komunisme dan ia merupakan parti yang berbilang kaum.

“Adalah menghairankan jika idea perpaduan kaum yang wujud melalui keterbukaan keahlian DAP ini berlangsung tidak disentuhnya.

“Saya berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua tuduhan melulu yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.