PPSMI ganggu usaha perkasa STEM, TVET: Aziz Bari

Abdul Aziz (berdiri, tengah) bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama hari ini.
Abdul Aziz (berdiri, tengah) bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama hari ini.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan mengelirukan pelajar, kata Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan semula dasar tersebut akan mengganggu usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, bukan itu sahaja, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menjadi keutamaan kerajaan juga akan turut terganggu dengan pengenalan PPSMI itu nanti.

"Pakar-pakar mengakui bahawa pengajaran sains dan matematik harus dilakukan dalam bahasan ibunda masing-masing. Kita tidak mahu nanti bahasa Inggeris rosak, sains dan matematik hancur.

"Sekarang ini kita tengah memperkasakan STEM dan TVET. Jika pelajar keliru lagi saya fikir dasar negara dan usaha ke arah negara maju akan terganggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Surau Al-Qomar, Taman Pengkalan Utama di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir untuk memperkenalkan semula PPSMI di sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, keputusan membabitkan dasar-dasar penting perlu diputuskan di dalam Majlis Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sebarang keputusan yang tidak selari dengan manifesto PH tidak seharusnya diumumkan tanpa sebarang persetujuan Majlis PH kerana ia mengelirukan semua pihak.

"Jangan timbulkan kekeliruan dan konflik. Tiada yang lebih besar daripada Majlis PH termasuk Perdana Menteri. Belajar mendisiplinkan diri kita supaya tidak membuat keputusan-keputusan yang menyebabkan parti dalam PH bertelagah sesama sendiri.

"Kita boleh akur dalam keputusan yang membabitkan soal kewangan seperti isu tol, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tetapi hal-hal lain bukan melibatkan kewangan harus berhati-hati," katanya.