Rohingya: Ramai pelarian dijangka dibawa masuk sindiket

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

SEPANG - Polis tidak menolak kemungkinan terdapat kemasukan lebih ramai pelarian etnik Rohingya ke negara ini berikutan adanya sindiket penyeludupan migran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menyedari perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap sindiket yang tidak bertanggungjawab termasuklah tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom).

"Kita sentiasa sedar bahawa ada kemungkinan lebih ramai akan masuk sebab itu kawalan dari Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diperketat.

"Fokus kawalan keselamatan di perairan negara tertumpu di kawasan Selat Melaka dan bahagian utara tanah air," katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di pekarangan Kompleks Bunga Raya di sini hari ini.

Menurutnya, polis juga sedang mengesan sindiket penyeludupan migran yang aktif membawa masuk pelarian Rohingya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan PPM berjaya menyelamatkan 65 pelarian etnik Rohingya dalam keadaan kebuluran dan kelaparan selepas bot dinaiki mereka hanyut selama 20 hari ketika cuba diseludup masuk ke negara ini.

Sindiket terbabit dipercayai menyeludup etnik Rohingya itu dari Kem Kutupalong, Chittagong, Bangladesh dengan bayaran antara RM1,300 dan RM1,800 seorang.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiga lelaki Bangladesh yang mendalangi kegiatan penyeludupan itu meninggalkan bot di perairan antarabangsa selepas mengalami kerosakan.

Artikel Berkaitan: