Penjenayah rimba patut dihukum berat

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini tular di aplikasi WhatsApp kelibat seekor kambing gurun dirakam di tepi jalan raya di negeri Terengganu.

Rakaman video dipercayai menggunakan telefon pintar itu benar-benar mengujakan netizen kerana bukan mudah untuk melihat haiwan itu secara semula jadi.

Lantas ia mengundang reaksi Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof yang meminta netizen tidak menularkan video itu kerana dibimbangi akan menarik minat pemburu haram menjejaki haiwan yang terancam pupus di kawasan berkenaan.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan membunuh haiwan yang tergolong dalam keluarga bovidae itu boleh didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM500,000 serta dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Selain kambing gurun, mengikut rekod Perhilitan, setakat ini dianggarkan sebanyak 26 spesies haiwan tergolong dalam kategori paling terancam di Malaysia.

Antaranya harimau Malaya, seladang, gajah, gajah pygmy, tenggiling, beruang matahari, serigala, harimau dahan, harimau bintang, banteng, beruk kentoi, kongkang, siamang dan beberapa spesies unggas lain.

Bagi membendung kegiatan pemburu haram ini akta sedia ada perlu dikaji dan dipertimbangkan dengan segera demi melindungi segera khazanah negara.

Artikel Berkaitan:

Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sudah tiba masanya kerajaan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan memperuntukkan hukuman lebih berat, iaitu penjara melebihi 10 tahun dan denda sehingga RM5 juta.

Batal pemilikan raifal

Bagi membendung kegiatan ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan semua lesen pemilikan raifal yang dikenal pasti sebagai senjata api popular bagi pemburu haram akan dibatal secara berperingkat-peringkat.

Abdul Hamid pada sidang akhbar 22 Januari lalu berkata, pembatalan lesen itu adalah antara usaha drastik polis menghentikan kegiatan pemburuan haram di negara ini.

Tindakan itu diambil berikutan raifal ialah senjata api paling popular menjadi pilihan pemburu sejak dari dahulu.

Jelasnya, ia selari dengan kerjasama antara PDRM dengan Perhilitan melalui Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 September 2019 untuk membanteras pemburuan haram dan melindungi khazanah hutan negara.

Pada masa sama, PDRM sedang mengenal pasti hampir 7,000 pemilik senapang yang mempunyai lesen berburu berumur lebih 70 tahun bagi membatalkan syarat berburu yang dimiliki mereka.

Sejak OBK dilancarkan sehingga 15 Januari lalu, sebanyak 56 kes direkodkan dan 102 pemburu haram ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya memiliki kuku dan taring harimau, air mani gajah, kulit kijang termasuklah merampas pelbagai spesies flora yang diambil dari kawasan hutan simpan dan taman negara.

Tangkapan itu membabitkan 43 rakyat tempatan, China (14), Kemboja (10), Indonesia (11), Filipina (4), Vietnam (5), Thailand (3) dan masing-masing enam Bangladesh serta Myanmar.

Jika pemburu haram tempatan menggunakan senjata api untuk memburu, pemburu haram warga asing pula menggunakan kepakaran dengan memasang jerat dan bergerak secara berkumpulan serta tinggal beberapa minggu di dalam hutan. Haiwan liar yang terjerat akan dilapah, disalai dan disembunyikan di lokasi rahsia sebelum diseludup keluar.

Jadi, bagi menyelamatkan hidupan liar ini daripada pupus, setiap warganegara wajib tidak membeli sebarang haiwan liar ini sama ada hidup atau mati, didik diri sendiri, rakan dan keluarga tidak melanggar undang-undang.

Laporkan jenayah pemburuan haram hidupan liar dengan menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151.

*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian