Pemuda UMNO desak PAC siasat segera jualan tanah THP

Sidang media Asyraf Wajdi hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sidang media Asyraf Wajdi hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) segera membuka siasatan berkenaan penjualan tanah-tanah ladang milik TH Plantation Berhad (THP) dan dalam masa sama terus menuntut penjelasan dari Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung isu tersebut.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan balas Mujahid yang enggan bertanggungjawab atas tindakan penjualan tanah-tanah berkenaan bertentangan dengan Akta Tabung Haji.

Menurutnya, Mujahid bukan hanya tidak menjawab persoalan, malah ibarat mahu lepas tangan selaku Menteri yang menjaga Tabung Haji (TH).

"TH mempunyai kuasa penuh terhadap perjalanan pengurusan THP kerana TH mempunyai pegangan majoriti dalam THP.

Menterilah yang bertanggungjawab terhadap pengurusan TH kerana yang akan menjawab apabila dibangkitkan di Parlimen adalah menteri.

"Paling utama yang menjadi keresahan 9.4 juta pendeposit umat Islam ini tanah-tanah yang berkepentingan besar bagi umat Islam. Kalau 76.2 peratus daripada tanah-tanah ladang milik THP dijual apa lagi tinggal kepada THP? kerana tanah-tanah ini berpotensi besar untuk mengeluarkan hasil dengan harga minyak sawit yang semakin memulih," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, rakyat akan dibanjiri dengan fitnah yang tular disebabkan kegagalan Mujahid menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan bahkan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh THP berhubung isu berkenaan.

"Kerana itu saya mahu berdialog. Bukan kita nak cari siapa menang. Paling penting kita kena bentangkan..saya ada fakta, dia ada fakta. Biar rakyat tahu kedudukan sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya kita nak selamatkan TH. Sebab itu saya kata jangan sesekali keluarkan deposit TH kerana TH milik kita bersama. Ada pihak yang mahu menghancurkan institusi Islam. Jadi kalau kita nak selamatkan institusi Islam, kita kena bersuara dan selamatkan TH," katanya.

Pada masa sama Asyraf Wajdi turut mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara telus, bebas dan tanpa pengaruh politik berhubung keseluruhan dakwaan penyelewengan dan salah laku yang berlaku dalam TH ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, penubuhan RCI adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam manifesto PH.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada campur tangan politik dalam urusan jual beli THP: Mujahid

"Mujahid sendiri isytiharkan defisit RM41 bilion kerana BN bayar hibah secara haram kepada pendeposit dan menyalahi akta. Jadi sampai sekarang kita tertanya-tanya bilakah siasatan yang kononnya telah dilaporkan.

"Sehingga kini ianya hanya sekadar persepsi tanpa wujudnya kes melibatkan individu bertanggungjawab terhadap pengurusan TH ketika itu. Kalau betul ada penyimpangan menyebabkan defisit ini, jadi RCI perlu menyiasat ini," katanya.

"Menterilah yang bertanggungjawab terhadap pengurusan TH kerana yang akan menjawab apabila dibangkitkan di Parlimen adalah menteri," katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi mempersoalkan tindakan TH yang menyediakan bahagian tentang kesediaan bakal jemaah Haji membuat bayaran penuh tanpa subsidi dalam borang rayuan yang dikeluarkan.

"Apa perlunya bahagian tersebut kalau TH benar-benar ikhlas untuk teruskan agenda membantu umat Islam dengan memberi subsidi berterusan.

"Adakah jika perayu yang sanggup bayar penuh akan diberi keutamaan? Bagaimana jika yang tidak mampu untuk bayar penuh tidak akan dipertimbangkan?" katanya.