KDA FC kempunan kutip mata penuh di gelanggang sendiri
KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal meraih mata penuh apabila sekadar berkongsi satu mata selepas diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan NS FC pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada petang Sabtu.
Pelawat yang turun dengan misi untuk memperbaiki rekod perlawanannya apabila tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini berjaya mengimbangi corak permainan Sang Kenari.
KDA FC yang mengasak kubu pelawat terlebih dahulu dikejutkan jaringan Jacque Faye meletakkan NS FC di hadapan 0-1 pada minit ke-46 sebelum tamat separuh masa pertama.
Terkejut dengan jaringan tersebut, pasukan tuan rumah mengandakan asakan dan berhasil menyamakan kedudukan 1-1 menerusi ketua pasukan, Sony Norde pada minit ke-53.
Cleyton menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk gol untuk meletakkan Sang Kenari di hadapan 2-1 pada minit ke-62.
Bagaimanapun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Faye sekali lagi menjadi wira NS FC setelah menyamakan kedudukan 2-2 hasil rembatan padunya bagi menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz pada minit ke-77.
Keputusan itu menyaksikan KDA FC mengumpul lapan mata dan kekal di kedudukan kelapan Liga Super manakala Negeri Sembilan kekal di tangga ke-12.