Diperkosa selama lima hari sebelum dicampak ke tepi jalan
ISLAMABAD - Platform media sosial kecoh gara-gara kisah seorang 'pelancong' yang mendakwa dia diperkosa bergilir-gilir selama lima hari sebelum dicampakkan di tepi jalan.
Mangsa berusia 28 tahun itu dilaporkan telah ditemui di sektor G-6 di ibu kota Pakistan dalam keadaan tangan dan kakinya masih berikat pada Rabu selepas terselamat detik hitam tersebut.
Laporan di beberapa media sosial mendakwa pelancong warga Belgium itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan oleh penduduk setempat.
Gambar dan video memaparkan keadaan wanita itu dalam keadaan lemah serta menyayat hati turut menjadi tular.
"Pihak berkuasa telah menahan seorang suspek untuk membantu siasatan. Lelaki tersebut mendakwa wanita itu sebenarnya kurang siuman malah tidak membawa kad pengenalan diri atau dokumen perjalanan bersamanya," lapor media tempatan.
Maklumat awal diperoleh polis mendapati mangsa turut mengaku sudah berada di Islamabad selama enam bulan.
"Tetapi, tiada rekod rasmi tentang hal itu selepas dirujuk kepada Kedutaan Belgium. Kami juga meminta pengesahan daripada Kedutaan Belanda memandangkan bandar kelahiran mangsa dikatakan berhampiran sempadan antara Brussels-Amsterdam," ujar jurucakap pihak berkuasa.
Menurutnya, Agensi Keselamatan Negara (FIA) juga tidak mempunyai rekod tentang mangsa memasuki Pakistan.
"Kami percaya dia bukan pelancong seperti didakwa. Kami masih lagi menyiasat untuk mengesahkan insiden menggemparkan itu," katanya lagi. - Agensi