KPWKM akan laksanakan 33 program pada tahun ini: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (duduk, tengah) bersama warga kerja Kementeriannya pada Perhimpunan Bulanan KPWKM hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah (duduk, tengah) bersama warga kerja Kementeriannya pada Perhimpunan Bulanan KPWKM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memfokuskan kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan sasarnya sama ada melibatkan penambahbaikan kepada aspek perundangan, pembangunan kapasiti mahupun aspek perlindungan pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebanyak 33 program di bawah janji kerajaan iaitu sembilan cadangan program baharu dan 24 program sedia ada akan dilaksanakan kementerian pada tahun ini.

“Kita telah memulakan momentum yang sangat baik pada awal tahun 2020 melalui pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada 16 Januari 2020 dan saya berharap agar gerak kerja ini berterusan secara istiqamah sepanjang tahun," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KPWKM di sini hari ini.

Wan Azizah berkata, kementerian akan terus mengambil inisiatif untuk menubuhkan jabatan atau agensi berhubung perkembangan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, penambahan peruntukan RM30 juta diberikan pada tahun ini untuk penubuhan taska di tempat kerja awam terutamanya di sekolah dan hospital bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja.

Beliau berkata, beberapa fokus juga telah digariskan pada tahun ini termasuklah penambahbaikan dari aspek perundangan seperti penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada semua pihak dan tidak hanya terhad di tempat kerja.

"Cadangan pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 akan turut dilakukan yang menitik beratkan aspek perlindungan dan keselamatan OKU melalui penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial yang bertujuan untuk mengiktiraf profesion kerja sosial kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah berkata, program melibatkan kumpulan sasar wanita perlu diberikan tumpuan pada tahun ini memandangkan tahun 2020 adalah ulang tahun ke-25 Beijing Declaration and Platform For Action yang memerlukan aspek pemerkasaan dan perlindungan terhadap wanita dipertingkatkan.

"Usaha mengarusperdana gender akan diberikan perhatian kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada wanita tetapi juga kepada golongan lelaki," katanya.

Beliau berkata, usaha itu menitikberatkan elemen menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi yang menghalang pengupayaan wanita dan lelaki agar mereka turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan bahawa kementerian itu ketika ini sedang melaksanakan kajian kandungan dan skop bagi pewujudan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia dan Kabinet baru-baru ini juga telah meluluskan hala tuju Dasar Kependudukan Negara Ke Arah Pembangunan Lestari 2030.

“Ini usaha kementerian untuk mempersiapkan semua pihak dalam menghadapi cabaran negara tua dan memperkasa penduduk Malaysia agar lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran sosio-ekonomi pada masa hadapan," katanya.

Dr Wan Azizah dalam pada itu mahu tumpuan pada tahun ini diberikan kepada agenda memperkukuhkan institusi kekeluargaan susulan pelancaran Deklarasi Keluarga dan Direktori Perkhidmatan Keluarga pada November tahun lepas.

“Saya menyeru agar semua lapisan masyarakat kembali memberi keutamaan terhadap institusi keluarga dalam segala usaha, perancangan dan tindakan,” katanya. - Bernama