Bapa harap bangkai bot dijumpai, yakin Aina Husna terperangkap

Muhamad Husaini menunjukkan gambar Aina Husna yang masih hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah tongkang dalam kejadian pada pagi Ahad.
Muhamad Husaini menunjukkan gambar Aina Husna yang masih hilang selepas bot dinaiki dilanggar sebuah tongkang dalam kejadian pada pagi Ahad.
A
A
A

CHUKAI - Bapa kepada mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Kemaman, Mohamad Husaini Ayub, 60, sangat berharap agar bangkai bot dapat ditemukan sebelum operasi mencari dan menyelamat (carilamat) ditamatkan esok.

Dia percaya anak perempuannya, Aina Husna, 25, terperangkap di dalam satu ruang tertutup di dalam bot berkenaan.

Mohamad Husaini yang berasal dari Rawang, Selangor berkata, menurut mangsa yang terselamat, ketika kejadian Aina Husna sedang tidur di ruangan itu dan dia mungkin tidak sempat keluar berenang untuk menyelamatkan diri.

"Satu sahaja harapan saya supaya bangkai bot yang karam itu dapat dijumpai. Naluri saya kuat mengatakan bahawa Aina Husna terperangkap di situ.

Pasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tinjauan dari udara menggunakan sebuah helikopter bagi operasi Carilamat dua lagi mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Kemaman. Foto Bernama
Pasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tinjauan dari udara menggunakan sebuah helikopter bagi operasi Carilamat dua lagi mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Kemaman. Foto Bernama

"Kalau pun dia tiada di dalam bot, saya nak tengok juga depan mata untuk mengesahkan tiada jasad di dalam bot... untuk kepuasan dan ketenangan hati saya," katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Mohamad Husaini berkata, selain operasi pencarian oleh agensi penyelamat, dia dan ahli keluarganya juga mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin agar anaknya dapat ditemukan segera.

Bagaimanapun, dia dan isteri Haziyah Harun, 63, reda sekiranya Aina Husna gagal dijumpai kerana berpuas hati dengan usaha pencarian yang dijalankan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama, saya juga bersyukur kerana isteri dan seorang lagi anak perempuan, Ain Farhana, 30, yang ikut sama memancing terselamat.

"Kami akan terus melakukan solat hajat dan bacaan Yasin sebagai ikhtiar terakhir," katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong karam selepas dilanggar tongkang.

Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua mangsa ditemukan lemas, manakala dua lagi masih hilang iaitu Aina Husna dan Yusof Kassam, 66. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!