Rakyat Malaysia bertanggungjawab kekalkan kemerdekaan negara - Johari
KUALA LUMPUR - Usaha mengekalkan kemerdekaan negara perlu digalas oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan pemimpin walaupun berbeza latar belakang dan fahaman politik, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, meskipun membawa ideologi berbeza, namun kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat tidak boleh dikompromi, bagi memastikan kemerdekaan negara dapat dipertahankan sampai bila-bila untuk generasi akan datang.
"Maksudnya apabila kita merdeka, negara tidak boleh kembali seperti dahulu (keadaan sebelum merdeka).
"Politik hari ini adalah menjual ideologi, tetapi mana-mana ideologi sekalipun kita kena pastikan bahawa kemerdekaan itu tetap dan kekal sampai bila-bila untuk generasi akan datang merangkumi kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang teratur dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka di Pasar Wirawati, di sini, hari ini.
Terdahulu Johari menerima Baton Jalur Gemilang sebagai kesinambungan jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP).
Semalam, Baton Jalur Gemilang diserahkan kepada Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai simbolik permulaan jelajah KMJG 2024 peringkat WPKLP. - Bernama