Remaja dilaporkan hilang serah diri di balai polis
Rezlo Mic Fadden, 15, hadir di balai polis terbabit pada jam 12 tengah hari selepas berita kehilangan dia dan sepupunya, Nicholas Chee Ping, 13, dihebahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kedua-dua remaja tersebut telah ditemui semula apabila masing-masing kembali ke rumah keluarga di Putatan dan hadir ke Balai Polis Penampang.
"Siasatan mendapati, remaja tersebut keluar dari rumah dan berada di rumah rakannya selama ini.
"Remaja itu dikatakan berjalan-jalan di rumah rakan-rakannya sejak 1 Ogos lalu sebelum kehilangan mereka dilaporkan oleh ahli keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sammy berkata, remaja terbabit datang menyerah diri selepas ahli keluarga rakannya memaklumkan mengenai hebahan kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.
Susulan penemuan remaja tersebut, Sammy turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga sentiasa mengawasi gerak geri dan pergaulan di bawah jagaa anak masing-masing.
"Ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sammy berkata, pihaknya terkesan dengan satu rakaman suara berdurasi 32 saat mengenai kehilangan kanak-kanak tular di media sosial.
"Saya menegaskan bahawa kes kanak-kanak hilang bersabit laporan Putatan adalah tiada kaitan sama sekali dengan rakaman suara yang tular itu.
"Jadi orang ramai diminta tidak memuat naik atau menyebarkan maklumat tidak sahih di mana-mana platform atau aplikasi media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan dua remaja yang juga bersepupu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar dari rumah di Buit Hill Putatan pada 1 Ogos lalu.