[VIDEO] Kanak-kanak 12 tahun pandu kereta mengaku tidak bersalah

A
A
A

SEPANG - Seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua budak lain di kawasan perumahan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Kanak-kanak yang memakai baju jersi itu selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Semasa prosiding yang dibuat secara tertutup, dia yang ditemani ibunya, didakwa memandu kereta jenis Perodua Viva, atas jalan walhal umurnya sewaktu kejadian ialah 12 tahun dan 3 bulan.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, pada jam 6.30 petang, 29 Julai lalu.


Tangkap layar video tular kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan perumahan.
Tangkap layar video tular kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan perumahan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, bapanya yang juga warga negara Pakistan, didakwa sebagai pemilik kereta itu, didapati telah membenarkan anak lelakinya ini, memandu kereta tersebut, di atas jalan, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak lelaki 12 tahun didakwa memandu kereta di bawah umur di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu.
Kanak-kanak lelaki 12 tahun didakwa memandu kereta di bawah umur di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi sementara pembelaan bagi kedua-dua OKS itu, diwakili peguam, Nabilla Rosli dari Tetuan Nadia Nabilla Rosli & Syaakirah.

Mahkamah membenarkan kanak-kanak itu diikat jamin sebanyak RM500 manakala bapanya yang bekerja sebagai penjual karpet dan berstatus pemastautin tetap, diberi jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mahkamah menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, satu rakaman video tular berdurasi satu minit 49 saat, memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua budak lain.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, 28 Julai lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!