Kes bunuh Nur Farah Kartini: Polis belum terima laporan bedah siasat
PETALING JAYA - Polis masih belum menerima laporan analisis lengkap keputusan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dibunuh pada bulan lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis masih menunggu pihak hospital untuk mengeluarkan laporan lengkap analisis bedah siasat terbabit.
"Kita masih belum terima laporan bedah siasat daripada pihak hospital," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri pelupusan barangan kes di Balai Polis Ara Damansara dekat sini pada Rabu.
Bedah siasat ke atas Nur Farah Kartini sebelum ini dilakukan di Hospital Sungai Buloh.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan anggota polis, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh Nur Farah Kartini, bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, di sini antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Nur Farah Kartini, 25, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Mayatnya ditemukan kira-kira jam 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun.
@sinarharianonline Kes bunuh Nur Farah Kartini: Polis belum terima laporan bedah siasat #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Kes #Jenayah #Bunuh #FarahKartini #Polis #BedahSiasat
News - ComaStudio