Impian Pearly-Thinaah ke pentas final lebur

Aksi Pearly-Thinaah di separuh akhir acara beregu wanita menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan. Foto: AFP
Aksi Pearly-Thinaah di separuh akhir acara beregu wanita menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan. Foto: AFP
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal mengatasi kehebatan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada acara beregu wanita Sukan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-12 dunia tewas 12-21, 21-18 dan 15-21 dalam perlawanan di gelanggang Port de la Chapelle.

Peringkat permulaan set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah bermula agak goyah sehingga membenarkan pasangan China itu mendahului lapan mata sebelum menamatkan perlawanan 21-12 dalam tempoh 20 minit.

Di set kedua, Pearly-Thinaah cuba memberikan saingan sengit namun ketinggalan empat mata menuju waktu rehat ketika kedudukan 11-7 berpihak kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu.

Pearly-Thinaah mempamerkan permainan yang kemas untuk mengutip mata sebaik permainan bersambung dan hasrat beregu negara untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tercapai dengan kemenangan 21-18 dalam tempoh 25 minit.

Di set penentuan, Pearly-Thinaah memberikan tentangan sengit, namun Qing Chen-Yi Fan lebih tenang untuk meraih kemenangan 21-15.

Biar pun tewas, Pearly-Thinaah masih berpeluang untuk membawa pulang pingat gangsa apabila beraksi di play-off nanti.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan sudah membuat perhitungan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini di mana pertemuan itu memihak kepada beregu China dengan keputusan 21-17, 22-20.

Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah pada penampilan pertama mereka di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang melangkah ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!