Mahkamah Tinggi putuskan kematian pegawai kadet TLDM sebagai kes homisid
IPOH - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memutuskan kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam enam tahun lepas sebagai kes homisid.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, punca kematian mangsa ialah edema pulmonari yang disebabkan oleh Leptospirosis dan akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepada Soosaimanicckam.
"Selepas mengambil kira semua bukti pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Soosaimanicckam, mahkamah ini mengetepikan dapatan keputusan terbuka Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan homisid," katanya.
Beliau berkata, Koroner Ainul Shahrin Mohamad telah terkhilaf apabila mengumumkan keputusan terbuka dalam kes itu tanpa menimbangkan semua bukti yang dikemukakan kepadanya.
Pada Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen itu yang bersidang sebagai Koroner telah mengisytiharkan keputusan terbuka dalam prosiding inkues berhubung punca kematian Soosaimanicckam semasa menjalani latihan pegawai kadet.
Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 tengah hari 19 Mei 2018 di Hospital Angkatan Tentera Lumut selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya setelah selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih.
Peguam Zaid Malek yang mewakili keluarga mangsa, ketika ditemui pemberita berkata, Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan berhubung rayuan bapa mendiang iaitu S. Joseph, 71, yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner.
"Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan pihak perayu dan telah menukar keputusan terbuka tersebut kepada kes homisid.
"Berkenaan dengan siapa yang bertanggungjawab berhubung kematian mendiang, Mahkamah Tinggi telah meneliti semula bukti-bukti yang sedia ada dan keterangan saksi menunjukkan bahawa terdapat bukti jelas mendiang memang cuba mendapatkan rawatan tetapi tidak dibenarkan oleh pegawai TLDM,” katanya.
Beliau juga berkata, bukti di mahkamah jelas menunjukkan punca Soosaimanicckam meninggal dunia adalah edema pulmonori disebabkan Leptospirosis yang dijangkiti sewaktu menjalani latihan di KD Sultan Idris. - Bernama