Kontraktor Cina sedekah kambing kepada pusat tahfiz

Paparan kisah Ah Hang membuatkan ramai tersentuh hati dengan keikhlasannya membantu pusat tahfiz.
Paparan kisah Ah Hang membuatkan ramai tersentuh hati dengan keikhlasannya membantu pusat tahfiz.
A
A
A

KEPALA BATAS - "Saya sedekah." Demikian kata seorang kontraktor ketika menderma seekor kambing kepada Maahad Tahfiz Insan Syamil Darul A'la, Sungai Kedak di sini.

Ah Hang yang juga penternak kambing mahu meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama warga pusat tahfiz selain berkongsi rezekinya kepada golongan yang memerlukan.

Dia bermurah hati untuk berkongsi kegembiraan menyambut perayaan dan berharap bantuannya dapat meringankan bebanan pihak pengurusan tahfiz berkenaan.

Menerusi gambar yang disertakan dalam entri di laman sosial, jelas sekali anak-anak tahfiz sedang bergotong-royong melapah daging kambing sebelum dijadikan juadah untuk dinikmati mereka.

Di kesempatan itu, tenaga pengajar pusat tahfiz mengucapkan terima kasih serta mendoakan agar lelaki berbangsa Cina itu terus dilimpahi rezeki dan menerima hidayah dari-Nya.

Kisah itu dimuat naik di Facebook Penang Kini selepas dikongsi Fariz Al Haj, nyata mendapat pujian daripada netizen kerana ia melambangkan keharmonian masyarakat majmuk.

Netizen berkata, tindakan Ah Hang memadamkan kebencian, menyemarakkan perpaduan selain mengutamakan semangat 1Malaysia.

Putera Lizan berkata, "Kita hidup masyarakat majmuk, berbilang kaum, berbilang bangsa saling hormat-menghormati tapi ada suku pihak cuba pecahbelahkan masyarakat majmuk di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Dengan agenda politik, menghasut supaya masyarakat berbilang kaum dan bangsa berpecah-belah dan bergaduh. Tetapi tindakan 'uncle' ini luar biasa. Terima kasih 'uncle', semoga ALLAH beri hidayah buat anda sekeluarga dan dimurah rezeki," ujarnya.

Ujar Farhan, "Kepada Ah Hang, saya doakan tuan diberi kesihatan yang sihat dan moga ALLAH beri hidayah buat tuan sekeluarga amin."

Kata Liana pula, "Perbuatan tauke ini sangat bagus, mereka berbuat kebaikan ketika perayaan dan berharap sepanjang tahun akan melimpahi kekayaan."