Pelajar maut dipercayai langgar lari

Keadaan motosikal yang terlibat kemalangan. (Gambar kecil:Muhamad Nasrul Arrif).
Keadaan motosikal yang terlibat kemalangan. (Gambar kecil:Muhamad Nasrul Arrif).
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Badrul Alam Shah Kemasek maut dalam kemalangan dipercayai langgar lari di Kilometer 121 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Mesra Mall di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Muhamad Nasrul Arrif Md Noor dari Kampung Bharu Seroja 4, Kemasek menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjatuh di atas jalan di laluan bertentangan.

"Pada masa sama, datang sebuah kenderaan dipercayai dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

"Kenderaan mungkin dipandu laju di kawasan gelap menyebabkan pemandunya tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.

"Pemandu berkenaan bagaimanapun meninggalkan lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hanyan berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan rakan mangsa yang turut menjadi saksi kemalangan itu kerana dia menunggang motosikal berasingan di belakang mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: