Keluar kenyataan fitnah: Farhash saman Yusoff

Gambar kiri: Farhash Wafa Salvador, gambar kanan: Muhammad Yusoff
Gambar kiri: Farhash Wafa Salvador, gambar kanan: Muhammad Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menyaman Muhammad Yusoff Rawther pada Jumaat lalu.

Writ saman itu difailkan melalui tetuan Messrs Kumar Thangaraj & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan bekas pembantu kajian Anwar itu mengeluarkan kenyataan fitnah dalam sidang medianya pada 4 Disember lepas.

Muhammad Yusoff sebelum ini mendakwa polis tidak bertindak terhadap laporannya yang menuduh Farhash menyerangnya di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Mei tahun lalu.

Selain itu, Muhammad Yusoff turut mendakwa menjadi mangsa serangan seksual Anwar.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat sebuah portal berita, Farhash mendakwa Muhammad Yusoff mengeluarkan kenyataan fitnah itu dengan pengetahuan ia akan dilaporkan media tempatan.

Farharsh mendakwa, kenyataan media itu bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya sebagai ahli politik PKR kerana antaranya menggambarkannya sebagai ganas, liar dan kaki pukul.

Peguamnya pada 30 Disember telah menghantar surat tuntutan guaman supaya Muhammad Yusoff menarik balik kata-kata itu dan memohon maaf tetapi tidak dilayan.

Farhash memohon perintah injuksi untuk menghalang Yusoff mengeluarkan atau terus menyiarkan kenyataan itu terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Plaintif turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos dengan faedah tahunan, yang jumlah ditentukan mahkamah.