Istiadat Pertabalan: PM Anwar, Lee Hsien Loong tiba di Istana Negara

Anwar disambut Fahmi sejurus tiba di pekarangan Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar disambut Fahmi sejurus tiba di pekarangan Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim hari ini.

Beliau tiba bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Anjung Utama Istana Negara pada jam 8.45 pagi.

Turut hadir, Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.

Pada Khamis, Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Hsien Loong antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Sultan Ibrahim untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir turut hadir bersama kira-kira 700 tetamu yang lain.

Ketibaan tetamu kehormat itu disambut Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong, Fahmi Fadzil dan isteri, Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!